Sila Klik Nuffnang

Thursday 27 June 2013

Fenomena Jerebu: Amaran Allah Melalui 'Ad-Dukhan'

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT yang menciptakan langit dan bumi serta apa sahaja yang terkandung di antara keduanya. Tempoh sukar kira-kira lebih seminggu telah pun menunjukkan tanda-tanda positif hasil daripada rahmat hujan yang diturunkan-Nya.

Bacaan IPU pada 27 Jun 2013

Detik mengharungi jerebu tebal nampaknya sudah berlalu. Tidak pasti ia kekal dan bertambah baik atau muncul lagi selepas ini. Masalah jerebu yang melanda beberapa Negeri di Malaysia baru-baru ini sebenarnya harus dilihat dari pelbagai sudut. Betapa terjejasnya gerak geri dan aktiviti kita akibat pencemaran udara ini wajar dimuhasabah sebaik mungkin.

Jika dilihat kepada fakta, tahun 2013 ini mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya ketika mana fenomena ini muncul. Daerah Muar dan Ledang di Negeri Johor paling teruk terjejas sehinggakan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak mengumumkan perintah darurat di kawasan tersebut.

Bagi kebanyakan kawasan-kawasan lain seperti Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pula, IPU yang dicatatkan adalah sehingga mencecah tahap berbahaya. Beratus-ratus sekolah telah diarahkan tutup sepanjang tempoh seminggu yang lalu.

Punca Jerebu Pada Perspektif Umum

Bencana jerebu yang di alami di Malaysia pada ketika ini pada perspektif umumnya ialah akibat daripada pembakaran terbuka yang dilakukan oleh Negara jiran Indonesia. Saban tahun inilah perkara yang dibincangkan oleh media-media massa sehingga terkadang berlaku 'peperangan berita' antara kedua Negara. Tahun ini lebih meruncing, kerana Singapura juga turut sama di dalam perbahasan.

Kementerian yang bertanggungjawab tentang alam sekitar juga segera memainkan peranan bagi mencari kaedah terbaik menangani masalah jerebu ini. Kementerian kesihatan juga tidak kurang sibuknya. Risalah-risalah berkenaan penjagaan kesihatan diedarkan kepada orang awam terutama di kawasan yang teruk terjejas. Semuanya dinilai dari sudut material umum. Pihak yang untung, sudah pastinya penjaja topeng muka dan penutup mulut.

Keadaan jerebu di Putrajaya

Namun begitu, wajarkah tindakan kita hanya menilai kejadian ini sebagai kesalahan di sebelah pihak? Apakah kita ini tidak melakukan apa-apa tindakan luar batasan yang telah ditetapkan oleh Allah baik dengan Pencipta, makhluk mahu pun alam sekitar? Di sinilah kewarasan minda sangat diperlukan agar bencana yang tercipta ini mampu melembutkan hati-hati manusia agar taat dan bertambah keimanan  kepada-Nya.
 
Amaran Allah Melalui Ad-Dukhan

Mari kita kaitkan bencana jerebu ini dengan satu surah di dalam Al-Quran yang dinamakan Ad-Dukhan. Saya memetik beberapa ayat yang nyata menunjukkan satu amaran daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya.


Maksudnya: Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat)[10]. Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata: “Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan” [11]. (Pada saat itu mereka akan merayu dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Hapuskanlah azab ini dari kami, sesungguhnya kami akan beriman!”[12]. Bagaimana mereka dapat beringat (menyempurnakan janji mereka hendak beriman itu)? Pada hal mereka telah pun didatangi seorang Rasul yang memberi keterangan-keterangan (yang cukup untuk mereka beriman)![13]. Sekalipun demikian, mereka juga berpaling ingkar daripada menerima keterangannya sambil berkata (sesama sendiri): “Dia seorang yang diajar (oleh bangsa asing), dia juga seorang yang gila!”[14]. Sesungguhnya (kalaulah) kami hapuskan azab itu barang sedikitpun, sudah tentu kamu akan kembali (kufur ingkar)[15]. (Ingatlah! Kalau kamu ulangi keingkaran kamu, kamu akan dibinasakan) semasa Kami timpakan (kamu dengan) paluan yang besar (dari pihak lawan kamu); sesungguhnya Kami tetap akan menyeksa (dengan azab yang seberat-beratnya)[16].  Surah Ad-Dukhan (Ayat 10-16)

Inilah antara perkara yang sering kita lupa. Ayat-ayat Allah sudah cukup memberi peringatan bahawa pelbagai jenis bencana yang kita hadapi ini tidak lain adalah berpunca dari kerosakan yang kita sendiri cipta. Ad-Dukhan yang membawa maksud kepulan asap tebal yang menyelaputi langit ditimpankan oleh Allah kepada makhluk yang ingkar dengan perintah-Nya. Malangnya, mereka yang taat turut sama tenggelam di dalam kesamaran asap tebal itu.

Mengingkari perintah Allah jangan sekadar ditafsirkan dalam bab-bab asas seperti solat dan berpuasa. Namun, nilailah ia secara keseluruhan kehidupan sebenar seorang Muslim yang beriman. Cuba kita lihat jalan hidup kita seharian. Sempurnakah akhlak kita..? Terpeliharakah muamalat kita..? Selesaikah pula tanggungjawab kita kepada masyarakat dan Negara..? Juga terpanggilkah kita untuk jihad menegakkan syiar Islam dan mempertahankan kalam-kalam suci Allah. MasyaAllah..jauhnya kita dengan ketaatan.

Memohon bantuan Allah

Sedar tidak sedar, permasalahan jerebu yang berlaku pada alam sekitar kita ini mengundang dekatnya kita kepada Allah. Kebanyakan masjid, surau dan komuniti setempat bersatu mengadakan solat hajat, solat istisqa' (memohon hujan) dan sebagainya dengan niat tidak lain selain daripada memulihkan udara kita daripada pencemaran yang berterusan. Maka begitulah ia dilalui saban tahun.

Terkadang kita terlalu dibuai dengan nikmat Allah yang datang segera. Jerebu yang menyelubungi bumi Malaysia disiram dengan hujan rahmat walaupun dalam kuantiti yang sederhana, mampu membawa pergi kepulan-kepulan debu kotor tersebut. Lantas kuntuman senyum terukir diwajah hamba-Nya. Sayang... ia tidak menandakan bahawa kita cukup bersyukur.

Tatkala jerebu ini dihilangkan oleh Allah, manusia terus menunjukkan keangkuhannya. Kebanyakannya kembali kepada rutin hidup yang jauh kepada menyatakan rasa kehambaan terhadap Penciptanya. Rumah-rumah Allah dibiarkan sahaja berkumandang sedang kaki terus terkunci daripada melangkah bergegas mendirikan solat berjemaah. Perasaan gentar langsung tidak wujud ketika mana ayat-ayat Allah dibaca dengan lantang oleh imam yang jelas kedengaran hingga ke ruangan rumah kita. Layakkah sebenarnya kita mendapat pertolongan daripada Allah?

Indeks Pencemaran Hati (IPH)


Merumuskan kisah amaran Allah melalui Ad-Dukhan ini, marilah kita menyukat indeks pencemaran di hati kita yang masih berjerebu. Jika kesihatan fizikal sangat dititikberatkan, bagaimana pula perkiraan kesihatan dari aspek hati..? Jerebu yang menyelimuti hati kita sebenarnya lebih merbahaya. Kekaburan pandangan hati pasti mengakibatkan kita lupa dari mengingati Allah. Apabila tiba satu masa, jika hati itu tidak kembali jernih, maka dikhuatiri ia berubah menjadi buta. Di saat itu, jangan sampai kita karam, hanyut bersama kekufuran yang nyata terhadap nikmat Allah. Nauzubillah..

Ayuh.. marilah kita hilangkan jerebu yang melanda hati kita. Mohonlah kepada Allah SWT agar hati-hati yang semakin tercemar ini disirami dengan titisan-titisan benih iman yang sempurna. Serahkanlah jiwa ragamu kepada Allah dengan rintihan taubat yang sebenar. Jerebu di hati tidak akan pergi dengan sendiri tanpa dorongan kuat pemiliknya untuk taat dan redha di dalam mematuhi syariat Allah.

Kembalilah ke jalan yang benar-benar Allah redhai. Ambillah Islam sebenar ad-din iaitu panduan jalan hidup sebenar seorang Muslim. Mudah-mudahan dengan hilangnya jerebu di hati, maka Allah tidak akan kembalikan semula jerebu di bumi tempat kita menghuni ini. Allah adalah dahan yang paling kukuh untuk kita bergantung. Maka kepada-Nya sahajalah keimanan ini dipersembahkan. Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment